Konflik Politik Johor pertengahan abad ke-18

Pengenalan
            Kerajaan Johor telah diasaskan oleh Raja Ali, putera kepada Sultan Mahmud Shah pada tahun 1528. Terbinanya kerajaan Johor bagi meneruskan Kerajaan Melaka yang telah jatuh kepada tangan Portugis pada tahun 1511. Sultan Ahmad dan ayahanda baginda telah melarikan diri ke Hulu Muar, seterusnya Pahang,Johor dan akhirnya ke Bintan.
            Walaubagaimanapun, Sultan Ahmad dan Sultan Mahmud tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan kembali Melaka. Pada tahun 1526, Bintan diserang menyebabkan baginda beralih tempat ke Kampar. Tetapi Kampar dikatakan tidak mempunyai potensi yang bagus lalu baginda membawa ahli keluarganya berpindah.
Sultan Mahmud telah digantikan oleh puteranya Raja Ali setelah baginda mangkat di Kampar pada tahun 1528.[1] Raja Ali mula mendirikan pusat pemerintahan Johor yang pertama di Pekan Tua iaitu di Hulu Sungai Telor yang terletak di daerah Kota Tinggi. Era pemerintahan
Kerajaan Johor boleh dibahagikan kepada tiga iaitu Dinasti Kesultanan Melaka (1528-1699), Dinasti Keluarga Bendahara (1699 – 1855) dan yang terakhir Dinasti Keluarga Temenggong (1855-hingga ke hari ini).
Kerajaan Johor telah mencapai zaman kegemilanganya apabila muncul sebagai empayar yang kukuh dan menjadi pusat perdagangan yang terkenal  pada abad ke -17 di rantau ini. Antara faktor yang menyumbang kepada kegemilangan Kerajaan Johor adalah tapak ibu kota Johor yang strategik bagi persinggahan pedagang-pedagang dari timur dan barat, beberapa wilayah taklukan di Melaka sebelum ini mengaku pertuanan Johor dan hubungan politik antara Johor dan Belanda. Walaupun begitu, Kerajaan Johor tidak sentiasa aman kerana menerima ancaman dari Jambi, Portugis dan Acheh. Masing-masing bersaing untuk menguasai Selat Melaka.
Sesebuah kerajaan itu pasti akan ada jatuh dan bangunnya. Konflik politik dalaman yang berlaku antara salah satu faktor yang melemahkan sesebuah kerajaan itu. Kerajaan Johor juga tidak dapat lari daripada konflik tersebut. Pada abad ke-17 berlaku konflik antara Laksamana dengan Bendahara yang menunjukkan permulaan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan rakyat Johor. Setelah Laksamana yang mendapat gelaran Paduka Raja berjaya dijatuhkan, politik Johor dikatakan masih belum stabil.
Abad seterusnya pula menyaksikan kemelut politik yang semakin meruncing. Pembunuhan Sultan Mahmud pada tahun 1699 telah memberi impak yang sangat besar terhadap Kerajaan Johor dan telah mengubah landskap politik Kerajaan Johor. Perubahan dari dinasti lama kepada dinasti yang baru menyaksikan Johor tidak lagi menjadi kuasa yang kuat di rantau Selat Melaka akibat perebutan takhta. Konflik yang berlaku telah melemahkan Kerajaan Johor sehingga mereka tidak mampu mengembalikan kegemilangan Johor yang dikecapi pada abad sebelumnya.
“Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”
Sultan Mahmud merupakan sultan daripada Dinasti Kesultanan Melaka yang mula memerintah pada tahun 1685 setelah kemangkatan Sultan Ibrahim Syah. Ketika ditabalkan menjadi Sultan baginda masih kecil.  Sultan Mahmud merupakan seorang pemerintah yang zalim dan kurang waras. Hanya Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang mampu mengawal sikap Sultan Mahmud yang tidak rasional ini. Tetapi setelah kematian Bendahara Tun Habib Abdul Majid pada tahun 1697 tiada siapa dapat mengawal Sultan Mahmud.[2] Bendahara Tun Abdul Jalil yang merupakan anak kepada Bendahara Tun Habib Abdul Majid hanya membiarkan Sultan Mahmud dan tidak terlalu masuk campur dalam hal Sultan Mahmud. Dalam masa dua tahun sahaja pemerintahan zaman baginda menjadi kucar-kacir dan ekonomi kerajaan semakin merosot akibat ketidakcekapan dalam menguruskan urusan perdagangan.
Kemuncak kepada kezaliman Sultan Mahmud berlaku apabila baginda dibunuh oleh Megat Seri Rama yang merupakan laksamana baginda sendiri.  Pada waktu itu baginda sedang dijulang ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan lalu ditikam oleh Megat Seri Rama. Baginda telah mati akibat tikaman tersebut. Motif pembunuhan  Megat Seri Rama ini adalah kerana dia ingin membalas dendam terhadap baginda kerana isterinya yang sedang mengandung dibunuh hanya kerana memakan seulas nangka.[3] Pembunuhan Sultan Mahmud ini mendapat sokongan daripada Bendahara dan orang-orang Kaya Johor kerana mereka tidak tahan dengan kezaliman pemerintahan Sultan Mahmud.[4]  Dengan itu berakhirlah zuriat daripada Kesultanan Melaka kerana Sultan Mahmud tidak meninggalkan waris.
Permulaan Dinasti Keluarga Bendahara
Setelah kemangkatan Sultan Mahmud, Bendahara Tun Abdul Jalil telah diangkat menjadi Sultan Johor dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Syah IV pada 3 September 1699. [5] Pelantikan tersebut telah ditentang oleh Orang Laut kerana Bendahara bukan anak gahara. Bagi mereka daulat hanya untuk raja sahaja. Ketidaksepakatan ini mengundang masalah dalam pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah IV. Tetapi Orang Laut akhirnya sedar yang mereka perlu menerima pemerintahan Sultan yang baru ini kerana tidak mahu disisihkan kerana selama ini mereka memberi peranan yang sangat penting dalam membangunkan Kerajaan Melaka dan Johor.
Pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah IV turut menerima tentangan daripada kerajaan-kerajaan yang lain kerana pembunuhan ke atas seorang raja bermakna telah melakukan penderhakaan. Pemerintah Palembang menghantar tentera ke Johor untuk mendapatkan penjelasan tentang pembunuhan Sultan Mahmud. Selain itu, Perak juga ada menghantar tentera serta meminta bantuan dari Belanda untuk membalas dendam ke atas kematian Sultan Mahmud.[6]  Dinasti yang baru mentadbir ini dikatakan tidak mempunyai keistimewaan seperti dinasti yang sebelumnya yang menjadi alasan kepada ketidakstabilan politik pada zaman baginda.
Semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah IV, berlaku pertelagahan antara baginda dengan pemimpin-pemimpin Bugis. Pada waktu itu, wilayah taklukan Johor semakin ramai didiami oleh Orang Bugis. Orang Bugis mencari tempat untuk menetap kerana perang saudara yang berlaku di tanah air mereka sendiri di Sulawesi Selatan. Antara beberapa buah penempatan orang-orang Bugis di kawasan semenanjung terletak di Selangor, Linggi dan Kelang yang merupakan wilayah takluk Johor. Konflik bermula apabila pemimpin-pemimpin Bugis tidak mengikut peraturan dalam agihan harta rampasan perang semasa Perang Saudara Kedah 1715.[7] Hal ini menyebabkan sultan berasa tercabar.
Konflik tersebut bertambah teruk apabila sultan mengirimkan pasukan tentera Johor bagi menghalau Orang Bugis pada tahun 1715. Pertempuran bukan berlaku hanya sekali tetapi berulang kali. Disebabkan Orang Bugis memang terkenal dengan kekuatan  mereka, maka kebanyakan pertempuran ini dimenangi oleh Orang Bugis. Kerajaan Johor menjadi semakin lemah akibat daripada konflik yang tiada henti ini. Kekalahan ini tidak mengembirakan pembesar-pembesar Johor. Akhirnya setelah berkali-kali tewas dengan Orang Bugis, Johor meminta bantuan daripada Belanda untuk menghalau Orang Bugis. Tetapi, Johor masih tidak berjaya menewaskan Bugis. Semangat untuk menewaskan Orang Bugis juga menjadi semakin lemah. Kejayaan Bugis menangani serangan Johor menguatkan lagi penguasaan mereka di Selat Melaka.
Selain perbalahan dengan Orang Bugis, Sultan Abdul Jalil IV menghadapi masalah dengan seorang putera dari Siak. Isu ini telah memberi kesan yang sangat besar dalam perubahan politik Kerajaan Johor pada abad pertengahan ke-18. Pada waktu ini juga kerajaan-kerajaan yang berada di bawah naungan Kerajaan Johor cuba membebaskan diri. Selangor dan Kelang bebas pada tahun 1702 diikuti Minangkabau pada tahun 1705, Rembau dan Inderagiri pada tahun 1706 dan seterusnya Batu Bahara dan Deli pada tahun 1707. Pada tahun 1709, dua Orang Kaya dan 400 rakyat Johor telah melakukan pemberontakan.[8] Pemberontakan yang berlaku telah  mengundang ketidakstabilan kepada Kerajaan Johor. Keselamatan para pedagang terancam justeru melemahkan perdagangan di Johor.
Raja Kecil menakluk Johor
Raja Kecil merupakan seorang putera dari Siak. Beliau mendakwa dirinya sebagai zuriat Sultan Mahmud. Ibunya bernama Che Pong merupakan anak Laksamana Johor.[9] Ibunya berjaya dilarikan oleh bapanya selepas kemangkatan Sultan Mahmud kerana pada waktu itu Sultan Abdul Jalil IV ingin membunuh semua gundik-gundik Sultan Mahmud supaya tiada waris ditinggalkan.[10]
Beliau juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kerabat raja di Pagar Ruyong dan merupakan anak angkat kepada Puteri Janilan. Raja Kecil membesar di Minangkabau. Beliau juga mempunyai pengalaman dalam bidang pentadbiran kerana pernah memerintah Pulau Grontong dan menjadi Syahbandar kepada Sultan Pagar Ruyung. Lalu, Sultan menganugerahkan Siak kepada Raja Kechil untuk diperintah olehnya.
Sebelum Raja Kecil datang menakluk Johor, pelbagai persediaan dilakukan. Raja Kecil telah meminta pelbagai bantuan dan sokongan daripada orang luar. Antara faktor yang menyumbang  sokongan terhadap Raja Kecil adalah kerana beliau merupakan pemerintah di Siak dan merupakan anak angkat Ratu Minangkabau. Selain itu juga Orang Laut turut menyokong beliau kerana pegangan Orang Laut yang hanya anak gahara layak menjadi sultan dan mereka tidak berpuas hati dengan cara perampasan kuasa oleh Bendahara. Orang Laut yang diketuai Raja Naga Selat meninggalkan Johor dan datang ke Bengkalis untuk memberi bantuan kepada Raja Kecil.[11] Raja Kecil juga mempengaruhi pembesar-pembesar Johor untuk berpihak kepadanya. Selain itu, untuk mempengaruhi rakyat Johor supaya memihak kepadanya, dia menunjukkan keistemewaan yang ada pada dirinya. Keistimewaan tersebut hanya ada pada keturunan Bukit Seguntang Mahameru. Disebabkan ketika itu masih ramai yang mempercayai daulat raja maka mereka menyokong Raja Kecil dan mengharapkan Raja Kecil dapat mengubah Johor kearah yang lebih baik.
Sebelum melakukan serangan ke Johor, Raja Kecil ada meminta bantuan daripada lima Bugis bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Merewah, Daeng Kemasih, Daeng Menambun. Mereka mahu diwujudkan jawatan Yang Dipertuan Muda yang dikhaskan untuk mereka. Jawatan ini adalah sebagai penasihat sultan. Raja Kecil bersetuju. Tetapi Raja Kecil telah menyerang Johor tanpa bantuan mereka kerana dikatakan Bugis tidak mahu membantu.
Serangan yang dilakukan oleh Raja Kecil menyebabkan Johor menjadi semakin lemah. Akhirnya pada 22 Mac 1718 angkatan tentera Raja Kecil menyerang Johor dan mereka telah memperoleh kejayaan.[12] Kerajaan Johor menjadi kucar – kacir. Perpaduan antara rakyat Johor berpecah- belah. Ada pihak yang menyokong Raja Kecil dan sebaliknya. Sultan Abdul Jalil IV berjaya dikalahkan dan Raja Kecil menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. Kekalahan di pihak Sultan Abdul Jalil disebabkan ramai mengkhianati beliau termasuk Bendahara baginda sendiri. Pegawai-pegawai istana ada yang mati dalam serangan dan ada juga yang melarikan diri ke negeri lain.
Sultan Abdul Jalil dilantik kembali memegang jawatan bendahara.[13] Untuk mengeratkan hubungan antara mereka, Raja Kecil berkahwin dengan anak sultan Abdul Jalil. Hubungan baik antara mereka berdua tidak dapat bertahan lama. Terdapat fitnah yang mengatakan Sultan Abdul Jalil cuba membunuh Raja Kecil tetapi dinafikan olehnya.  
Konflik bermula apabila Raja Kecil bertunang dengan Tengku Tengah yang merupakan anak Bendahara Tun Abdul Jalil. Tetapi Raja Kecil telah memutuskan pertunangan dengan Tengku Tengah apabila dia jatuh hati terhadap adik Tengku Tengah iaitu Tengku Kamariah. [14]. Hal ini menyebabkan Tengku Tengah berasa amat malu dan marah. Raja Sulaiman ketika itu juga tidak berpuas hati terhadap Raja Kecil kerada dia tidak dapat menjadi Sultan. Maka mereka berdua telah berkomplot untuk menculik Tengku Kamariah. Tengku Kamariah dibawa balik ke rumah bapanya, Bendahara Tun Abdul Jamil. Raja Kecil sangat marah terhadap kejadian ini dan beranggapan bapa mertuanya yang menculik Tengku Kamariah. Peperangan antara Johor dan Minangkabau berlaku kembali.[15]
Sultan Abdul Jalil melarikan diri daripada serangan Raja Kecil dan membina kubu di Seluyut. Setelah itu,dia bersemayam di Terengganu. Ketika ini terdapat tiga kekuasaan di Tanah Melayu di mana Raja Kechil di Riau, Sultan Abdul Jalil di pantai timur Semenanjung dan orang-orang Bugis di Selangor dan Linggi. Akhirnya dia telah dibunuh di Pahang di hadapan anak-anaknya. Anak-anak Bendahara Sultan Abdul Jalil yang sangat marah akan pembunuhan bapanya oleh Nahkoda Sekam  ingin membalas dendam terhadap perbuatan Raja Kecil.
Persetiaan Marhum Sungai Baharu
Raja Sulaiman dan Tengku Tengah telah mendapatkan bantuan daripada lima bugis bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Merewah, Daeng Kemasih, Daeng Menambun dan Daeng Celak untuk mengusir Raja Kecil dari Johor.[16] Tengku Tengah telah berjanji untuk berkahwin dengan Daeng Perani jika mereka membantu mengalahkan Raja Kechil. Selain itu juga, lima Bugis bersaudara mahu diwujudkan jawatan Yang Dipertuan Muda khas untuk orang Bugis sahaja jika mereka berjaya mengalahkan Raja Kecil. Selama ini jawatan tersebut belum pernah wujud dalam kerajaan Johor. Jawatan Yang Dipertuan Muda ini adalah jawatan khas sebagai penasihat Sultan yang mempunyai sama taraf dengan jawatan Raja Muda. Kewujudan jawatan inilah yang telah memporak - perandakan politik Kerajaan Johor.
Perperangan antara pihak Bugis dan Raja Kecil berlaku di Kepulauan Riau. Raja Kecil telah berjaya dikalahkan pada tahun 1722. Dia tidak dibunuh tetapi hanya diusir dari Johor. Raja Kecil telah megundurkan diri ke Pulau Penyengat dan tetapi masih  menerima serangan daripada Bugis. Akhirnya Raja Kecil melarikan diri ke Lingga dan seterusnya ke Siak. Dengan kekalahan tersebut maka naiklah Raja Sulaiman menjadi Sultan Johor yang baru dengan menggunakan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 4 haribulan 10 tahun 1722. Dengan kejayaan itu telah wujud jawatan Yang Dipertuan Muda melalui persetiaan yang dikenali sebagai Persetiaan Marhum  Sungai Baru pada 4 Oktober 1722.[17] Melalui persetiaan ini pengaruh Bugis dalam Kerajaan Johor menjadi semakin kuat. Yang Dipertuan Muda pertama adalah Daeng Merewah dan beliau memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1728. Campurtangan Bugis dalam politik Kerajaan Johor tidak disenangi oleh pembesar-pembesar melayu yang lain.
Semasa, pemerintahan Sultan Sulaiman, Orang Laut masih menganggap Raja Kecil sebagai pemerintah yang sah. Orang Laut masih tidak mahu menerima sultan yang tidak mempunya darah raja. Hal ini memberi ancaman terhadap beliau. Walaupun Raja Kecil sudah tewas, dia tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan takhtanya kembali. Peperangan sering berlaku antara tentera Minangkabau dan juga tentera Bugis. Perang saudara ini melemahkan lagi kerajaan Johor.
Salah satu pertempuran berlaku di Kedah antara Raja Kechil dan Daeng Perani. Perang di Kedah berakhir pada tahun 1724 apabila Daeng Perani berjaya dibunuh oleh Raja Kechil. Daeng Perani ditembak oleh Raja Kecil di bahagian dadanya.[18] Tentera  Minangkabau pulang ke Siak setelah kematian Daeng Perani. Kematian Daeng Perani menyebabkan Raja Kecil menerima serangan daripada Bugis yang telah memaksa Raja Kecil untuk melarikan diri daripada Kedah.
Pada tahun 1727, Raja Kecil mengadakan serangan untuk menakluk Riau. Kekuatan tentera Minangkabau memaksa Bugis untuk membuat perjanjian perdamaian dengan Raja Kecil. Dalam perjanjian ini, Raja Kechil menuntut supaya isterinya Tengku Kamariah dikembalikan kepadanya. Jika Bugis bersetuju, Sultan Sulaiman dan Orang Bugis akan dikekalkan di Johor. Dalam surat Tengku Kamariah kepada Raja Kecil, jika Raja Kecil mahukan dia kembali Raja Kecil perlu menghantar tentera. Disebabkan surat itu Raja Kecil telah memungkiri perjanjian yang telah mereka persetujui. Kedatangan tentera Raja Kechil memberi kejutan kepada Bugis. Raja Kecil tidak lagi memberi tumpuan terhadap Johor apabila kalah dalam peperangan pada tahun 1728.  Serangan berakhir pada sekitar tahun 1740-an apabila Raja Kecil mangkat.[19]
Pengaruh Bugis dalam Kerajaan Johor
Semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, baginda dianggap sebagai  boneka kepada pemerintah Bugis kerana pada waktu itu pemerintah Bugis sangat berkuasa dalam Kerajaan Johor. Bagi mengenang budi Orang Bugis baginda hanya menurut sahaja apa yang Orang Bugis mahukan. Perkahwinan campur antara Orang Bugis dan golongan bangsawan Johor mengukuhkan lagi pengaruh Bugis di Johor.[20] Sultan Sulaiman terlalu bergantung kepada pemimpin Bugis sehingga membelakangkan pembesar-pembesar Melayu yang lain.[21] Penolakan Orang Laut juga antara punca mengapa Sultan Sulaiman bergantung kepada Bugis untuk mengekalkan takhtanya. Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pembesar-pembesar Melayu kerana terpaksa berkongsi kuasa dengan pemimpin Bugis. Walaupun begitu, orang Melayu dan orang Bugis pernah beberapa kali mengadakan persetiaan tetapi masih tidak berjaya mendamaikan mereka.
Persaingan antara mereka bertambah apabila pembesar-pembesar Bugis menggunakan gelaran Sultan  Daeng Merewah menggunakan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah ibni Opu manakala Daeng Menampuk menggunakan gelaran Sultan Ibrahim. Penggunaan gelaran ini mengakibatkan hubungan tidak dilihat lagi sebagai hubungan raja dan pembesarnya. Konsep daulat dikatakan  tidak wujud lagi. Disebabkan itulah pembesar-pembesar Melayu tidak berpuas hati terhadap mereka kerana dikatakann telah melanggar adat-adat melayu yang diamalkan sejak zaman Kesultanan Melaka.
Selain itu juga, para pembesar Bugis diberi hak yang sama untuk campur tangan dalam bidang pentadbiran Kerajaan Johor. Sebelum ini bendahara bertanggungjawab untuk menabalkan Sultan tetapi sejak wujudnya jawatan Yang Dipertuan Muda, bendahara telah kehilangan tanggugjawab tersebut. Kelemahan pihak Sultan Sulaiman menyebabkan pihak Bugis sering mengambil kesempatan. Sepanjang pemerintahan Sultan Sulaiman, perbalahan antara pihak Bugis dan pembesar-pembesar Melayu sering terjadi. Pembesar-pembesar Melayu tidak mahu bekerjasama dengan orang-orang Bugis kerana ketidakpuasan hati terhadap mereka. Sekitar tahun 1740-an dan 1750-an pembesar-pembesar Melayu Johor menyokong sultan Terengganu untuk menghalau Bugis. Sultan Sulaiman juga pernah mencuba untuk menyingkirkan Bugis daripada pentadbiran Johor tetapi tidak berjaya.
Orang Laut turut menerima tempias daripada penguasaan Bugis di Johor. Sebelum ini, khidmat mereka sangat penting dalam urusan pentadbiran dan ekonomi Johor menjadikan kedudukan mereka sangat istimewa. Tetapi setelah kedatangan Bugis, perkhidmatan mereka diambil alih oleh orang Bugis kerana orang Bugis juga mahir dalam hal pelayaran dan peperangan.[22] Hal ini menyebabkan mereka berhijrah ke kawasan lain tetapi masih ada juga yang tidak mahu meninggalkan kampung halaman mereka.
Pemerintah Bugis mempunyai beberapa siri perperangan yang tidak melibatkan pembesar-pembesar Melayu dan diketuai oleh Yang Dipertuan Muda. Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Bugis apabila mereka bebas menjalinkan hubungan dengan orang asing tanpa perlu melibatkan Sultan Johor atau pembesar Johor yang lain.
Akibat daripada persaingan antara pembesar Melayu dan orang Bugis, Yang Dipertuan Muda Riau (iii), Daeng Kemboja meninggalkan Riau dan memerintah Linggi pada tahun 1753.[23] Dia tidak mahu kerajaan jadi kacau bilau kerana kehadiranya. Sultan Sulaiman mengarahkan Tun Dalam dan Raja Haji untuk membawa pulang Daeng Kemboja tetapi Tun Dalam telah mengkhianati Raja Haji . Dia pergi menemui gabenor Belanda di Melaka untuk meminta bantuan menyerang Yamtuan Muda di Linggi. Tipu helahnya berjaya dibongkarkan. Angkatan Belanda dan Tun Dalam telah menyerang Linggi dan pihak Daeng Kemboja tewas.
Semasa kekuasaan Bugis, tiada usaha untuk mengembalikan kegemilangan Johor. Mereka tidak mempedulikan lagi Johor. Mereka cuma mahu mengumpulkan kekayaaan diri mereka. Dengan penguasaan Bugis dalam kerajaan Johor maka kuasa Sultan tidak menjadi kuat lagi seperti dahulu. Johor terus berpecah - belah akibat konflik politik antara Bugis dan orang Johor. Kerajaan Johor sebenarnya sudah berkecai menjelang tahun 1759 kerana semua jajahan takluknya telah membebaskan diri.[24] Pada tahun 1761, Sultan Sulaiman mangkat dan digantikan oleh puteranya Raja Di Baruh. Belum sempat mentadbir Kerajaan Johor, baginda jatuh sakit selepas mendengar berita kemangkatan ayahnya lalu mangkat pada Januari 1761. Orang Melayu di Riau mendakwa Daeng Kemboja telah meracuni Raja Di Baruh.[25] Tindakan ini membolehkan Bugis terus mendominasi penguasaan di Johor dan pengaruh pembesar Melayu terus menyusut.
Kesimpulan
Konflik politik Johor yang berlaku pada pertengahan abad ke-18 menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang telah mengubah Kerajaan Johor dari segi pentadbiranya. Kerajaan Johor yang merupakan warisan Kesultanan Melaka tidak lagi mempraktikkan keseluruhan adat yang wujud pada zaman Kesultanan Melaka semenjak kematian Sultan Mahmud pada tahun 1699. . Pembunuhan Sultan Mahmud yang dianggap luar biasa pada zaman itu kerana belum pernah lagi mana-mana raja Melayu dibunuh. Disebabkan itu perubahan politik yang berlaku setelah kematian baginda memberi impak yang sangat besar dalam Kerajaan  Johor. Konsep daulat yang sangat dipegang kuat mula goyah selepas Dinasti Bendahara gagal mendapatkan sokongan penuh daripada rakyat. Bukan setakat itu sahaja, penguasaan Bugis dalam Kerajaan Johor telah menampakkan kelemahan kuasa Sultan menyebabkan kedaulatan Sultan itu sendiri tergugat.
Selain itu, konflik politik dalam Kerajaan Johor kebanyakannya bermotifkan peribadi. Pertama, dapat kita lihat daripada peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud di mana pembunuhan tersebut akibat kezaliman Sultan Mahmud itu sendiri. Kemarahan Megat Seri Rama terhadap kematian isterinya menyebabkan beliau berdendam lalu memilih untuk menamatkan riwayat Sultan Mahmud. Selain itu, konflik antara Raja Kecil dan Sultan Sulaiman juga bersifat peribadi kerana berkait rapat dengan ahli  keluarga mereka. Perasaan malu Tengku Tengah apabila diputuskan pertunangan oleh Raja Kecil dan pembunuhan Sultan Abdul Jalil akibat salah faham penculikan Tengku Kamariah merupakan punca utama dan pemangkin kepada perbalahan mereka yang akhirnya menyebabkan perpecahan dalam rakyat Johor.
Perbezaan adat antara orang Bugis dan orang Melayu juga mengakibatkan sukar bagi mereka untuk mencapai kesefahaman sesame mereka.  Perbezaan ini kadang membawa kepada perbalahan yang menyebabkan Johor tidak aman. Beberapa kali orang Melayu cuba menghalau Bugis dan Tun Dalam antara pembesar yang paling menonjol dalam percubaan menghapuskan pengaruh Bugis tetapi tidak berjaya. Kepahlawanan dan kemahiran orang Bugis menyebabkan sukar untuk menewaskan mereka. Orang Bugis sangat menganggumi kekuatan pengaruh mereka dalam membangunkan Kerajaan Johor seperti yang terdapat dalam Tuhfat-al Nafis sehingga peranan pembesar Melayu dipinggirkan seolah-olah peranan mereka tidak penting






[1] Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, Johor: Yayasan Warisan Johor, 2008, hlm. 20.
[2] Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1975, hlm. 182.
[3] Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, hlm. 20.
[4] Ibid.
[5] Ibid,hlm. 21.
[6] Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728, hlm. 190.
[7] Ahmad Jelani Halimi, Sejarah Tamadun Bangsa Melayu, Kuala Lumpur:Utusan Publications & Distrubutors Sdn Bhd, 2008,  hlm. 335-336.
[8] Ahmad Jelani Halimi, Sejarah Tamadun Bangsa Melayu ,hlm. 338.
[9] A F Yassin dan Zam Ismail, Sejarah Adat-Istiadat Kesultanan Johor (1529-1855), Johor: Yayasan Warisan Johor, 2002, hlm 10.
[10] Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728, hlm. 258-259
[11] Ibid, hlm. 264
[12] Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, hlm. 22.
[13] Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728, hlm. 279.
[14] Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, hlm. 107.
[15]Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis, ed. Virgina Matheson, Kuala Lumpur:Penerbit  Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1982 , hlm. 56.
[16] A F Yassin dan Zam Ismail,  Sejarah Adat-Istiadat Kesultanan Johor (1529-1855),  hlm 11.
[17] (Tun) Suzana Haji (Tun) Hj. Othman, Institusi Bendahara Permata Melayu yang Hilang, Kuala Lumpur : Pustaka BSM Enteprise, 2002, hlm. 45
[18]   Leonard  Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728,  hlm. 303
[19] Shaharom Hussain, Sejarah Johor Kaitannya dengan Negeri Melayu, Kuala Lumpur:Penerbit  Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1995, hlm 36.
[20] Buyong Adil, Sejarah Johor, hlm. 115.
[21] Ahmad Jelani Halimi, Sejarah Tamadun Bangsa Melayu, hlm. 339.
[22] Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur:Macmillan Publishers (M) Sdn.Bhd., 1985, hlm 96.
[23]   (Tun) Suzana Haji (Tun) Hj. Othman, Institusi Bendahara Permata Melayu yang Hilang, hlm 50.
[24] Ahmad Jelani Halimi, Sejarah Tamadun Bangsa Melayu, hlm. 340.
[25]   Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, hlm. 185.

Comments

Popular posts from this blog

KMNS: Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan

Fakta: Melayu memang malas, bodoh dan poyo!