Konflik Politik Johor pertengahan abad ke-18
Pengenalan
Kerajaan Johor telah diasaskan oleh
Raja Ali, putera kepada Sultan Mahmud Shah pada tahun 1528. Terbinanya kerajaan
Johor bagi meneruskan Kerajaan Melaka yang telah jatuh kepada tangan Portugis
pada tahun 1511. Sultan Ahmad dan ayahanda baginda telah melarikan diri ke Hulu
Muar, seterusnya Pahang,Johor dan akhirnya ke Bintan.
Walaubagaimanapun, Sultan Ahmad dan
Sultan Mahmud tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan kembali Melaka. Pada
tahun 1526, Bintan diserang menyebabkan baginda beralih tempat ke Kampar.
Tetapi Kampar dikatakan tidak mempunyai potensi yang bagus lalu baginda membawa
ahli keluarganya berpindah.
Sultan
Mahmud telah digantikan oleh puteranya Raja Ali setelah baginda mangkat di
Kampar pada tahun 1528.[1]
Raja Ali mula mendirikan pusat pemerintahan Johor yang pertama di Pekan Tua
iaitu di Hulu Sungai Telor yang terletak di daerah Kota Tinggi. Era
pemerintahan
Kerajaan Johor boleh dibahagikan kepada tiga iaitu Dinasti Kesultanan Melaka (1528-1699), Dinasti Keluarga Bendahara (1699 – 1855) dan yang terakhir Dinasti Keluarga Temenggong (1855-hingga ke hari ini).
Kerajaan Johor boleh dibahagikan kepada tiga iaitu Dinasti Kesultanan Melaka (1528-1699), Dinasti Keluarga Bendahara (1699 – 1855) dan yang terakhir Dinasti Keluarga Temenggong (1855-hingga ke hari ini).
Kerajaan
Johor telah mencapai zaman kegemilanganya apabila muncul sebagai empayar yang
kukuh dan menjadi pusat perdagangan yang terkenal pada abad ke -17 di rantau ini. Antara faktor
yang menyumbang kepada kegemilangan Kerajaan Johor adalah tapak ibu kota Johor
yang strategik bagi persinggahan pedagang-pedagang dari timur dan barat,
beberapa wilayah taklukan di Melaka sebelum ini mengaku pertuanan Johor dan
hubungan politik antara Johor dan Belanda. Walaupun begitu, Kerajaan Johor tidak
sentiasa aman kerana menerima ancaman dari Jambi, Portugis dan Acheh.
Masing-masing bersaing untuk menguasai Selat Melaka.
Sesebuah
kerajaan itu pasti akan ada jatuh dan bangunnya. Konflik politik dalaman yang
berlaku antara salah satu faktor yang melemahkan sesebuah kerajaan itu. Kerajaan
Johor juga tidak dapat lari daripada konflik tersebut. Pada abad ke-17 berlaku
konflik antara Laksamana dengan Bendahara yang menunjukkan permulaan
bibit-bibit perpecahan dalam kalangan rakyat Johor. Setelah Laksamana yang
mendapat gelaran Paduka Raja berjaya dijatuhkan, politik Johor dikatakan masih
belum stabil.
Abad
seterusnya pula menyaksikan kemelut politik yang semakin meruncing. Pembunuhan
Sultan Mahmud pada tahun 1699 telah memberi impak yang sangat besar terhadap
Kerajaan Johor dan telah mengubah landskap politik Kerajaan Johor. Perubahan
dari dinasti lama kepada dinasti yang baru menyaksikan Johor tidak lagi menjadi
kuasa yang kuat di rantau Selat Melaka akibat perebutan takhta. Konflik yang
berlaku telah melemahkan Kerajaan Johor sehingga mereka tidak mampu
mengembalikan kegemilangan Johor yang dikecapi pada abad sebelumnya.
“Sultan
Mahmud Mangkat Dijulang”
Sultan
Mahmud merupakan sultan daripada Dinasti Kesultanan Melaka yang mula memerintah
pada tahun 1685 setelah kemangkatan Sultan Ibrahim Syah. Ketika ditabalkan
menjadi Sultan baginda masih kecil. Sultan
Mahmud merupakan seorang pemerintah yang zalim dan kurang waras. Hanya
Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang mampu mengawal sikap Sultan Mahmud yang
tidak rasional ini. Tetapi setelah kematian Bendahara Tun Habib Abdul Majid
pada tahun 1697 tiada siapa dapat mengawal Sultan Mahmud.[2]
Bendahara Tun Abdul Jalil yang merupakan anak kepada Bendahara Tun Habib Abdul
Majid hanya membiarkan Sultan Mahmud dan tidak terlalu masuk campur dalam hal
Sultan Mahmud. Dalam masa dua tahun sahaja pemerintahan zaman baginda menjadi
kucar-kacir dan ekonomi kerajaan semakin merosot akibat ketidakcekapan dalam menguruskan
urusan perdagangan.
Kemuncak
kepada kezaliman Sultan Mahmud berlaku apabila baginda dibunuh oleh Megat Seri
Rama yang merupakan laksamana baginda sendiri. Pada waktu itu baginda sedang dijulang ke
masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan lalu ditikam oleh Megat Seri Rama.
Baginda telah mati akibat tikaman tersebut. Motif pembunuhan Megat Seri Rama ini adalah kerana
dia ingin membalas dendam terhadap baginda kerana isterinya yang sedang
mengandung dibunuh hanya kerana memakan seulas nangka.[3]
Pembunuhan Sultan Mahmud ini mendapat sokongan daripada Bendahara dan
orang-orang Kaya Johor kerana mereka tidak tahan dengan kezaliman pemerintahan
Sultan Mahmud.[4]
Dengan itu berakhirlah zuriat daripada
Kesultanan Melaka kerana Sultan Mahmud tidak meninggalkan waris.
Permulaan
Dinasti Keluarga Bendahara
Setelah
kemangkatan Sultan Mahmud, Bendahara Tun Abdul Jalil telah diangkat menjadi
Sultan Johor dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Syah IV pada 3 September
1699. [5]
Pelantikan tersebut telah ditentang oleh Orang Laut kerana Bendahara bukan anak
gahara. Bagi mereka daulat hanya untuk raja sahaja. Ketidaksepakatan ini
mengundang masalah dalam pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah IV. Tetapi Orang
Laut akhirnya sedar yang mereka perlu menerima pemerintahan Sultan yang baru
ini kerana tidak mahu disisihkan kerana selama ini mereka memberi peranan yang
sangat penting dalam membangunkan Kerajaan Melaka dan Johor.
Pemerintahan
Sultan Abdul Jalil Syah IV turut menerima tentangan daripada kerajaan-kerajaan yang
lain kerana pembunuhan ke atas seorang raja bermakna telah melakukan
penderhakaan. Pemerintah Palembang menghantar tentera ke Johor untuk
mendapatkan penjelasan tentang pembunuhan Sultan Mahmud. Selain itu, Perak juga
ada menghantar tentera serta meminta bantuan dari Belanda untuk membalas dendam
ke atas kematian Sultan Mahmud.[6] Dinasti yang baru mentadbir ini dikatakan
tidak mempunyai keistimewaan seperti dinasti yang sebelumnya yang menjadi alasan
kepada ketidakstabilan politik pada zaman baginda.
Semasa
pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah IV, berlaku pertelagahan antara baginda
dengan pemimpin-pemimpin Bugis. Pada waktu itu, wilayah taklukan Johor semakin
ramai didiami oleh Orang Bugis. Orang Bugis mencari tempat untuk menetap kerana
perang saudara yang berlaku di tanah air mereka sendiri di Sulawesi Selatan.
Antara beberapa buah penempatan orang-orang Bugis di kawasan semenanjung
terletak di Selangor, Linggi dan Kelang yang merupakan wilayah takluk Johor. Konflik
bermula apabila pemimpin-pemimpin Bugis tidak mengikut peraturan dalam agihan harta
rampasan perang semasa Perang Saudara Kedah 1715.[7]
Hal ini menyebabkan sultan berasa tercabar.
Konflik
tersebut bertambah teruk apabila sultan mengirimkan pasukan tentera Johor bagi
menghalau Orang Bugis pada tahun 1715. Pertempuran bukan berlaku hanya sekali
tetapi berulang kali. Disebabkan Orang Bugis memang terkenal dengan
kekuatan mereka, maka kebanyakan
pertempuran ini dimenangi oleh Orang Bugis. Kerajaan Johor menjadi semakin
lemah akibat daripada konflik yang tiada henti ini. Kekalahan ini tidak
mengembirakan pembesar-pembesar Johor. Akhirnya setelah berkali-kali tewas
dengan Orang Bugis, Johor meminta bantuan daripada Belanda untuk menghalau
Orang Bugis. Tetapi, Johor masih tidak berjaya menewaskan Bugis. Semangat untuk
menewaskan Orang Bugis juga menjadi semakin lemah. Kejayaan Bugis menangani
serangan Johor menguatkan lagi penguasaan mereka di Selat Melaka.
Selain
perbalahan dengan Orang Bugis, Sultan Abdul Jalil IV menghadapi masalah dengan
seorang putera dari Siak. Isu ini telah memberi kesan yang sangat besar dalam
perubahan politik Kerajaan Johor pada abad pertengahan ke-18. Pada waktu ini
juga kerajaan-kerajaan yang berada di bawah naungan Kerajaan Johor cuba
membebaskan diri. Selangor dan Kelang bebas pada tahun 1702 diikuti Minangkabau
pada tahun 1705, Rembau dan Inderagiri pada tahun 1706 dan seterusnya Batu
Bahara dan Deli pada tahun 1707. Pada tahun 1709, dua Orang Kaya dan 400 rakyat
Johor telah melakukan pemberontakan.[8]
Pemberontakan yang berlaku telah
mengundang ketidakstabilan kepada Kerajaan Johor. Keselamatan para
pedagang terancam justeru melemahkan perdagangan di Johor.
Raja
Kecil menakluk Johor
Raja
Kecil merupakan seorang putera dari Siak. Beliau mendakwa dirinya sebagai zuriat
Sultan Mahmud. Ibunya bernama Che Pong merupakan anak Laksamana Johor.[9]
Ibunya berjaya dilarikan oleh bapanya selepas kemangkatan Sultan Mahmud kerana
pada waktu itu Sultan Abdul Jalil IV ingin membunuh semua gundik-gundik Sultan
Mahmud supaya tiada waris ditinggalkan.[10]
Beliau
juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kerabat raja di Pagar Ruyong dan
merupakan anak angkat kepada Puteri Janilan. Raja Kecil membesar di
Minangkabau. Beliau juga mempunyai pengalaman dalam bidang pentadbiran kerana
pernah memerintah Pulau Grontong dan menjadi Syahbandar kepada Sultan Pagar
Ruyung. Lalu, Sultan menganugerahkan Siak kepada Raja Kechil untuk diperintah
olehnya.
Sebelum
Raja Kecil datang menakluk Johor, pelbagai persediaan dilakukan. Raja Kecil
telah meminta pelbagai bantuan dan sokongan daripada orang luar. Antara faktor
yang menyumbang sokongan terhadap Raja
Kecil adalah kerana beliau merupakan pemerintah di Siak dan merupakan anak
angkat Ratu Minangkabau. Selain itu juga Orang Laut turut menyokong beliau
kerana pegangan Orang Laut yang hanya anak gahara layak menjadi sultan dan
mereka tidak berpuas hati dengan cara perampasan kuasa oleh Bendahara. Orang
Laut yang diketuai Raja Naga Selat meninggalkan Johor dan datang ke Bengkalis untuk
memberi bantuan kepada Raja Kecil.[11]
Raja Kecil juga mempengaruhi pembesar-pembesar Johor untuk berpihak kepadanya. Selain
itu, untuk mempengaruhi rakyat Johor supaya memihak kepadanya, dia menunjukkan
keistemewaan yang ada pada dirinya. Keistimewaan tersebut hanya ada pada
keturunan Bukit Seguntang Mahameru. Disebabkan ketika itu masih ramai yang
mempercayai daulat raja maka mereka menyokong Raja Kecil dan mengharapkan Raja
Kecil dapat mengubah Johor kearah yang lebih baik.
Sebelum
melakukan serangan ke Johor, Raja Kecil ada meminta bantuan daripada lima Bugis
bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Merewah, Daeng Kemasih, Daeng Menambun.
Mereka mahu diwujudkan jawatan Yang Dipertuan Muda yang dikhaskan untuk mereka.
Jawatan ini adalah sebagai penasihat sultan. Raja Kecil bersetuju. Tetapi Raja
Kecil telah menyerang Johor tanpa bantuan mereka kerana dikatakan Bugis tidak
mahu membantu.
Serangan
yang dilakukan oleh Raja Kecil menyebabkan Johor menjadi semakin lemah.
Akhirnya pada 22 Mac 1718 angkatan tentera Raja Kecil menyerang Johor dan
mereka telah memperoleh kejayaan.[12] Kerajaan
Johor menjadi kucar – kacir. Perpaduan antara rakyat Johor berpecah- belah. Ada
pihak yang menyokong Raja Kecil dan sebaliknya. Sultan Abdul Jalil IV berjaya
dikalahkan dan Raja Kecil menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah.
Kekalahan di pihak Sultan Abdul Jalil disebabkan ramai mengkhianati beliau
termasuk Bendahara baginda sendiri. Pegawai-pegawai istana ada yang mati dalam
serangan dan ada juga yang melarikan diri ke negeri lain.
Sultan
Abdul Jalil dilantik kembali memegang jawatan bendahara.[13] Untuk
mengeratkan hubungan antara mereka, Raja Kecil berkahwin dengan anak sultan
Abdul Jalil. Hubungan baik antara mereka berdua tidak dapat bertahan lama.
Terdapat fitnah yang mengatakan Sultan Abdul Jalil cuba membunuh Raja Kecil
tetapi dinafikan olehnya.
Konflik
bermula apabila Raja Kecil bertunang dengan Tengku Tengah yang merupakan anak
Bendahara Tun Abdul Jalil. Tetapi Raja Kecil telah memutuskan pertunangan dengan
Tengku Tengah apabila dia jatuh hati terhadap adik Tengku Tengah iaitu Tengku
Kamariah. [14].
Hal ini menyebabkan Tengku Tengah berasa amat malu dan marah. Raja Sulaiman
ketika itu juga tidak berpuas hati terhadap Raja Kecil kerada dia tidak dapat
menjadi Sultan. Maka mereka berdua telah berkomplot untuk menculik Tengku
Kamariah. Tengku Kamariah dibawa balik ke rumah bapanya, Bendahara Tun Abdul
Jamil. Raja Kecil sangat marah terhadap kejadian ini dan beranggapan bapa
mertuanya yang menculik Tengku Kamariah. Peperangan antara Johor dan
Minangkabau berlaku kembali.[15]
Sultan
Abdul Jalil melarikan diri daripada serangan Raja Kecil dan membina kubu di
Seluyut. Setelah itu,dia bersemayam di Terengganu. Ketika ini terdapat tiga
kekuasaan di Tanah Melayu di mana Raja Kechil di Riau, Sultan Abdul Jalil di
pantai timur Semenanjung dan orang-orang Bugis di Selangor dan Linggi. Akhirnya
dia telah dibunuh di Pahang di hadapan anak-anaknya. Anak-anak Bendahara Sultan
Abdul Jalil yang sangat marah akan pembunuhan bapanya oleh Nahkoda Sekam ingin membalas dendam terhadap perbuatan Raja
Kecil.
Persetiaan Marhum Sungai Baharu
Raja
Sulaiman dan Tengku Tengah telah mendapatkan bantuan daripada lima bugis
bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Merewah, Daeng Kemasih, Daeng Menambun dan
Daeng Celak untuk mengusir Raja Kecil dari Johor.[16] Tengku
Tengah telah berjanji untuk berkahwin dengan Daeng Perani jika mereka membantu
mengalahkan Raja Kechil. Selain itu juga, lima Bugis bersaudara mahu diwujudkan
jawatan Yang Dipertuan Muda khas untuk orang Bugis sahaja jika mereka berjaya
mengalahkan Raja Kecil. Selama ini jawatan tersebut belum pernah wujud dalam
kerajaan Johor. Jawatan Yang Dipertuan Muda ini adalah jawatan khas sebagai penasihat
Sultan yang mempunyai sama taraf dengan jawatan Raja Muda. Kewujudan jawatan
inilah yang telah memporak - perandakan politik Kerajaan Johor.
Perperangan
antara pihak Bugis dan Raja Kecil berlaku di Kepulauan Riau. Raja Kecil telah
berjaya dikalahkan pada tahun 1722. Dia tidak dibunuh tetapi hanya diusir dari
Johor. Raja Kecil telah megundurkan diri ke Pulau Penyengat dan tetapi masih menerima serangan daripada Bugis. Akhirnya
Raja Kecil melarikan diri ke Lingga dan seterusnya ke Siak. Dengan kekalahan
tersebut maka naiklah Raja Sulaiman menjadi Sultan Johor yang baru dengan
menggunakan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 4 haribulan 10 tahun
1722. Dengan kejayaan itu telah wujud jawatan Yang Dipertuan Muda melalui
persetiaan yang dikenali sebagai Persetiaan Marhum Sungai Baru pada 4 Oktober 1722.[17]
Melalui persetiaan ini pengaruh Bugis dalam Kerajaan Johor menjadi semakin
kuat. Yang Dipertuan Muda pertama adalah Daeng Merewah dan beliau memegang
jawatan tersebut sehingga tahun 1728. Campurtangan Bugis dalam politik Kerajaan
Johor tidak disenangi oleh pembesar-pembesar melayu yang lain.
Semasa,
pemerintahan Sultan Sulaiman, Orang Laut masih menganggap Raja Kecil sebagai
pemerintah yang sah. Orang Laut masih tidak mahu menerima sultan yang tidak
mempunya darah raja. Hal ini memberi ancaman terhadap beliau. Walaupun Raja
Kecil sudah tewas, dia tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan takhtanya
kembali. Peperangan sering berlaku antara tentera Minangkabau dan juga tentera
Bugis. Perang saudara ini melemahkan lagi kerajaan Johor.
Salah
satu pertempuran berlaku di Kedah antara Raja Kechil dan Daeng Perani. Perang
di Kedah berakhir pada tahun 1724 apabila Daeng Perani berjaya dibunuh oleh
Raja Kechil. Daeng Perani ditembak oleh Raja Kecil di bahagian dadanya.[18] Tentera Minangkabau pulang ke Siak setelah kematian
Daeng Perani. Kematian Daeng Perani menyebabkan Raja Kecil menerima serangan
daripada Bugis yang telah memaksa Raja Kecil untuk melarikan diri daripada
Kedah.
Pada
tahun 1727, Raja Kecil mengadakan serangan untuk menakluk Riau. Kekuatan
tentera Minangkabau memaksa Bugis untuk membuat perjanjian perdamaian dengan
Raja Kecil. Dalam perjanjian ini, Raja Kechil menuntut supaya isterinya Tengku
Kamariah dikembalikan kepadanya. Jika Bugis bersetuju, Sultan Sulaiman dan
Orang Bugis akan dikekalkan di Johor. Dalam surat Tengku Kamariah kepada Raja
Kecil, jika Raja Kecil mahukan dia kembali Raja Kecil perlu menghantar tentera.
Disebabkan surat itu Raja Kecil telah memungkiri perjanjian yang telah mereka
persetujui. Kedatangan tentera Raja Kechil memberi kejutan kepada Bugis. Raja
Kecil tidak lagi memberi tumpuan terhadap Johor apabila kalah dalam peperangan
pada tahun 1728. Serangan berakhir pada
sekitar tahun 1740-an apabila Raja Kecil mangkat.[19]
Pengaruh Bugis dalam Kerajaan Johor
Semasa
pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, baginda dianggap sebagai boneka kepada pemerintah Bugis kerana pada
waktu itu pemerintah Bugis sangat berkuasa dalam Kerajaan Johor. Bagi mengenang
budi Orang Bugis baginda hanya menurut sahaja apa yang Orang Bugis mahukan.
Perkahwinan campur antara Orang Bugis dan golongan bangsawan Johor mengukuhkan
lagi pengaruh Bugis di Johor.[20]
Sultan Sulaiman terlalu bergantung kepada pemimpin Bugis sehingga
membelakangkan pembesar-pembesar Melayu yang lain.[21]
Penolakan Orang Laut juga antara punca mengapa Sultan Sulaiman bergantung
kepada Bugis untuk mengekalkan takhtanya. Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan
hati dalam kalangan pembesar-pembesar Melayu kerana terpaksa berkongsi kuasa
dengan pemimpin Bugis. Walaupun begitu, orang Melayu dan orang Bugis pernah
beberapa kali mengadakan persetiaan tetapi masih tidak berjaya mendamaikan
mereka.
Persaingan
antara mereka bertambah apabila pembesar-pembesar Bugis menggunakan gelaran
Sultan Daeng Merewah menggunakan gelaran
Sultan Alauddin Riayat Shah ibni Opu manakala Daeng Menampuk menggunakan
gelaran Sultan Ibrahim. Penggunaan gelaran ini mengakibatkan hubungan tidak
dilihat lagi sebagai hubungan raja dan pembesarnya. Konsep daulat dikatakan tidak wujud lagi. Disebabkan itulah
pembesar-pembesar Melayu tidak berpuas hati terhadap mereka kerana dikatakann
telah melanggar adat-adat melayu yang diamalkan sejak zaman Kesultanan Melaka.
Selain
itu juga, para pembesar Bugis diberi hak yang sama untuk campur tangan dalam
bidang pentadbiran Kerajaan Johor. Sebelum ini bendahara bertanggungjawab untuk
menabalkan Sultan tetapi sejak wujudnya jawatan Yang Dipertuan
Muda, bendahara telah kehilangan tanggugjawab tersebut. Kelemahan pihak Sultan
Sulaiman menyebabkan pihak Bugis sering mengambil kesempatan. Sepanjang
pemerintahan Sultan Sulaiman, perbalahan antara pihak Bugis dan
pembesar-pembesar Melayu sering terjadi. Pembesar-pembesar Melayu tidak mahu
bekerjasama dengan orang-orang Bugis kerana ketidakpuasan hati terhadap mereka.
Sekitar tahun 1740-an dan 1750-an pembesar-pembesar Melayu Johor menyokong
sultan Terengganu untuk menghalau Bugis. Sultan Sulaiman juga pernah mencuba
untuk menyingkirkan Bugis daripada pentadbiran Johor tetapi tidak berjaya.
Orang
Laut turut menerima tempias daripada penguasaan Bugis di Johor. Sebelum ini, khidmat
mereka sangat penting dalam urusan pentadbiran dan ekonomi Johor menjadikan kedudukan
mereka sangat istimewa. Tetapi setelah kedatangan Bugis, perkhidmatan mereka
diambil alih oleh orang Bugis kerana orang Bugis juga mahir dalam hal pelayaran
dan peperangan.[22]
Hal ini menyebabkan mereka berhijrah ke kawasan lain tetapi masih ada juga yang
tidak mahu meninggalkan kampung halaman mereka.
Pemerintah
Bugis mempunyai beberapa siri perperangan yang tidak melibatkan
pembesar-pembesar Melayu dan diketuai oleh Yang Dipertuan Muda. Ini menunjukkan
betapa kuatnya pengaruh Bugis apabila mereka bebas menjalinkan hubungan dengan
orang asing tanpa perlu melibatkan Sultan Johor atau pembesar Johor yang lain.
Akibat
daripada persaingan antara pembesar Melayu dan orang Bugis, Yang
Dipertuan Muda Riau (iii), Daeng Kemboja meninggalkan Riau dan memerintah
Linggi pada tahun 1753.[23]
Dia tidak mahu kerajaan jadi kacau bilau kerana kehadiranya. Sultan Sulaiman
mengarahkan Tun Dalam dan Raja Haji untuk membawa pulang Daeng Kemboja tetapi
Tun Dalam telah mengkhianati Raja Haji . Dia pergi menemui gabenor Belanda di
Melaka untuk meminta bantuan menyerang Yamtuan Muda di Linggi. Tipu helahnya
berjaya dibongkarkan. Angkatan Belanda dan Tun Dalam telah menyerang Linggi dan
pihak Daeng Kemboja tewas.
Semasa
kekuasaan Bugis, tiada usaha untuk mengembalikan kegemilangan Johor. Mereka
tidak mempedulikan lagi Johor. Mereka cuma mahu mengumpulkan kekayaaan diri
mereka. Dengan penguasaan Bugis dalam kerajaan Johor maka kuasa Sultan tidak
menjadi kuat lagi seperti dahulu. Johor terus berpecah - belah akibat konflik
politik antara Bugis dan orang Johor. Kerajaan Johor sebenarnya sudah berkecai
menjelang tahun 1759 kerana semua jajahan takluknya telah membebaskan diri.[24]
Pada tahun 1761, Sultan Sulaiman mangkat dan digantikan oleh puteranya Raja Di
Baruh. Belum sempat mentadbir Kerajaan Johor, baginda jatuh sakit selepas mendengar
berita kemangkatan ayahnya lalu mangkat pada Januari 1761. Orang Melayu di Riau
mendakwa Daeng Kemboja telah meracuni Raja Di Baruh.[25]
Tindakan ini membolehkan Bugis terus mendominasi penguasaan di Johor dan
pengaruh pembesar Melayu terus menyusut.
Kesimpulan
Konflik
politik Johor yang berlaku pada pertengahan abad ke-18 menyaksikan pelbagai
peristiwa penting yang telah mengubah Kerajaan Johor dari segi pentadbiranya.
Kerajaan Johor yang merupakan warisan Kesultanan Melaka tidak lagi
mempraktikkan keseluruhan adat yang wujud pada zaman Kesultanan Melaka semenjak
kematian Sultan Mahmud pada tahun 1699. . Pembunuhan Sultan Mahmud yang
dianggap luar biasa pada zaman itu kerana belum pernah lagi mana-mana raja
Melayu dibunuh. Disebabkan itu perubahan politik yang berlaku setelah kematian
baginda memberi impak yang sangat besar dalam Kerajaan Johor. Konsep daulat yang sangat dipegang kuat
mula goyah selepas Dinasti Bendahara gagal mendapatkan sokongan penuh daripada
rakyat. Bukan setakat itu sahaja, penguasaan Bugis dalam Kerajaan Johor telah
menampakkan kelemahan kuasa Sultan menyebabkan kedaulatan Sultan itu sendiri
tergugat.
Selain
itu, konflik politik dalam Kerajaan Johor kebanyakannya bermotifkan peribadi.
Pertama, dapat kita lihat daripada peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud di mana
pembunuhan tersebut akibat kezaliman Sultan Mahmud itu sendiri. Kemarahan Megat
Seri Rama terhadap kematian isterinya menyebabkan beliau berdendam lalu memilih
untuk menamatkan riwayat Sultan Mahmud. Selain itu, konflik antara Raja Kecil
dan Sultan Sulaiman juga bersifat peribadi kerana berkait rapat dengan
ahli keluarga mereka. Perasaan malu
Tengku Tengah apabila diputuskan pertunangan oleh Raja Kecil dan pembunuhan
Sultan Abdul Jalil akibat salah faham penculikan Tengku Kamariah merupakan
punca utama dan pemangkin kepada perbalahan mereka yang akhirnya menyebabkan
perpecahan dalam rakyat Johor.
Perbezaan
adat antara orang Bugis dan orang Melayu juga mengakibatkan sukar bagi mereka
untuk mencapai kesefahaman sesame mereka. Perbezaan ini kadang membawa kepada perbalahan
yang menyebabkan Johor tidak aman. Beberapa kali orang Melayu cuba menghalau
Bugis dan Tun Dalam antara pembesar yang paling menonjol dalam percubaan
menghapuskan pengaruh Bugis tetapi tidak berjaya. Kepahlawanan dan kemahiran
orang Bugis menyebabkan sukar untuk menewaskan mereka. Orang Bugis sangat
menganggumi kekuatan pengaruh mereka dalam membangunkan Kerajaan Johor seperti
yang terdapat dalam Tuhfat-al Nafis sehingga peranan pembesar Melayu
dipinggirkan seolah-olah peranan mereka tidak penting
[2] Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728, Kuala
Lumpur: Oxford University Press, 1975, hlm. 182.
[3] Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, hlm.
20.
[4] Ibid.
[5] Ibid,hlm. 21.
[6] Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728, hlm. 190.
[7] Ahmad Jelani Halimi, Sejarah Tamadun Bangsa Melayu, Kuala
Lumpur:Utusan Publications & Distrubutors Sdn Bhd, 2008, hlm. 335-336.
[8] Ahmad Jelani Halimi, Sejarah Tamadun Bangsa Melayu ,hlm. 338.
[9] A F Yassin dan Zam Ismail, Sejarah Adat-Istiadat Kesultanan Johor
(1529-1855), Johor: Yayasan Warisan Johor, 2002, hlm 10.
[10] Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728, hlm.
258-259
[11] Ibid, hlm. 264
[12] Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, hlm.
22.
[13] Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor 1641-1728, hlm. 279.
[14] Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1971, hlm. 107.
[15]Raja Haji Ahmad dan Raja Ali
Haji, Tuhfat al-Nafis, ed. Virgina
Matheson, Kuala Lumpur:Penerbit Fajar
Bakti Sdn. Bhd., 1982 , hlm. 56.
[16] A F Yassin dan Zam Ismail, Sejarah
Adat-Istiadat Kesultanan Johor (1529-1855), hlm 11.
[17] (Tun) Suzana Haji (Tun) Hj.
Othman, Institusi Bendahara Permata
Melayu yang Hilang, Kuala Lumpur : Pustaka BSM Enteprise, 2002, hlm. 45
[19] Shaharom Hussain, Sejarah Johor Kaitannya dengan Negeri
Melayu, Kuala Lumpur:Penerbit Fajar
Bakti Sdn. Bhd., 1995, hlm 36.
[20] Buyong Adil, Sejarah Johor, hlm. 115.
[21] Ahmad Jelani Halimi, Sejarah Tamadun Bangsa Melayu, hlm. 339.
[22] Barbara Watson Andaya dan Leonard
Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Kuala
Lumpur:Macmillan Publishers (M) Sdn.Bhd., 1985, hlm 96.
[23] (Tun) Suzana Haji (Tun) Hj. Othman, Institusi Bendahara Permata Melayu yang
Hilang, hlm 50.
[24] Ahmad
Jelani Halimi, Sejarah Tamadun Bangsa
Melayu, hlm. 340.
[25] Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, hlm. 185.
Comments
Post a Comment